Wednesday, June 14, 2006

Apahal?!

Read this:

Siaran Piala Dunia melalui RTM untuk penonton Malaysia sahaja

Oleh S. ANAND KUMAR


KUALA LUMPUR 13 Jun - Maaf ya peminat Piala Dunia dari Singapura! Siaran percuma perlawanan bola sepak melalui TV1 dan TV2 itu hanya untuk orang di Malaysia sahaja.

Itu adalah syarat yang terkandung dalam perjanjian stesen televisyen tempatan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Peminat bola sepak di Singapura semalam melahirkan kekecewaan kerana tidak dapat menonton temasya bola sepak itu melalui televisyen Malaysia kerana menerima gambar seperti `hujan' dan visual bergetar di skrin mereka.

Ketua Pengarah RTM, Datuk Abdul Rahman Hamid berkata, untuk memastikan syarat FIFA dipatuhi, RTM terpaksa mengubahsuai sistem pemancarnya bagi memastikan siaran itu tidak diperoleh oleh negara jiran.

``Kerajaan berbelanja banyak, maka kita mendapat hak penyiaran. Kalau peminat bola sepak Singapura mahu menonton secara langsung mereka juga perlu berbelanja, jangan hanya mahu tumpang sahaja.

‘‘Kita (RTM) perlu menghormati syarat FIFA. Jadi sehingga tamat perlawanan Piala Dunia kami terpaksa mengubahsuai sistem pemancar kami.

‘‘Soal sama ada siaran RTM boleh diterima di negara jiran atau tidak, itu bukan menjadi masalah kepada negara (Malaysia),” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama semalam yang memetik kekecewaan peminat bola sepak di republik itu yang kecewa tidak dapat menyaksikan siaran percuma itu.

Kata laporan itu, siaran RTM di Singapura bermasalah sejak bermulanya Piala Dunia pada Sabtu lalu.

StarHub, yang menyiarkan siaran RTM 1 secara percuma melalui rangkaian kabelnya di Singapura berkata, gangguan siaran itu berpunca daripada pihak penyiar di Malaysia.

Laporan media di republik itu turut menyebut bahawa RTM sengaja melaraskan sumber satelitnya supaya hanya penonton di Malaysia dapat menerima siaran perlawanan Piala Dunia melalui RTM1.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, kerajaan membelanjakan RM11.5 juta untuk mendapatkan hak penyiaran secara langsung 47 perlawanan Piala Dunia.

‘‘Saya merasakan dalam perkara ini, adalah tidak logik sekiranya republik itu mempersalahkan RTM kerana siaran tidak jelas,” katanya.


**********

Read my email to Utusan in respond to above article:

Tuan/Puan yang di hormati,

Sila rujuk artikel di atas di sini yang di siarkan pada 13hb Jun.

Saya sebagai rakyat Spura berasa terkilan dengan artikel ini. Mungkin saya faham tentang kos yang terlibat untuk menayangkan perlawanan-perlawanan Piala Dunia 2006. Dan mungkin juga sebahagian dari rakyat Spura yang tidak mendaftar untuk untuk kabel Starhub telah menumpang siaran dari RTM untuk menonton perlawanan-perlawanan itu.

Tapi perlukah kata-kata kasar seperti di bawah di lontarkan kepada kami;

"Kalau peminat bola sepak Singapura mahu menonton secara langsung mereka juga perlu berbelanja, jangan hanya mahu tumpang sahaja".

''Soal sama ada siaran RTM boleh diterima di negara jiran atau tidak, itu bukan menjadi masalah kepada negara (Malaysia)," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dan ini datangnya dari ketua pengarah RTM, Datuk Abdul Rahman Hamid. Seseorang yang berpangkat, yang mungkin di hormati dan di sanjungi.

Perkataan-perkataan begini tidak harus di lontarkan dan di siarkan sebagai bacaan orang ramai.

Rakyat Spura akan faham kalau itu sudah satu perjanjian dan syarat bersama FIFA. Dan satu penjelasan ringkas juga mungkin sudah memadai. Tak perlu berkata kasar seperti itu. Bukankah rakyat Malaysia di sanjung kerana budi pekertinya?

Dan merujuk kepada perenggan ini pula;

Laporan media di republik itu turut menyebut bahawa RTM sengaja melaraskan sumber satelitnya supaya hanya penonton di Malaysia dapat menerima siaran perlawanan Piala Dunia melalui RTM1.

''Saya merasakan dalam perkara ini, adalah tidak logik sekiranya republik itu mempersalahkan RTM kerana siaran tidak jelas," katanya.


Pada pandangan saya laporan media itu tidak menyalahkan RTM tapi hanya memperjelaskan keadaan bahawa masalah siaran berpunca dari RTM bukan dari pihak Starhub. Dan bukankah itu juga tindakan yang sedang RTM ambil?

Mungkin selepas ini, artikel ini patut saya sebarkan untuk menegah rakyat Spura dari menonton siaran perlawanan-perlawanan Piala Dunia kerana seperti di nyatakan dalam artikel ini - siaran Piala Dunia hanya untuk penonton Malaysia sahaja. Sebaiknya mereka harus sahaja beralih kepada siaran secara langsung kesemua perlawanan di saluran SCTV (siaran tv indonesia) yang menyiarkan semua perlawanan Piala Dunia dan tidak ada tohmahan-tohmahan seperti ini.

Saya harap pada masa akan datang,perkara-perkara ini tidak perlu ada atau di siarkan untuk bacaan orang ramai. Kita sebagai negara berjiran seharusnya lebih memahami antara satu sama lain. Tak perlu kata-kata yang mungkin akan mengeruhkan dan merumitkan keadaan.

Saya menulis ini sekadar menzahirkan rasa ketidak-puasan saya dan bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak.

Terima kasih atas perhatian anda.


Terima kasih.


***********

Not that my email will see the light off the day but at least i do my part. I voiced out my unhappiness over this article.

I'm sure swearing off RTM; at least for the World Cup 2006. Harsh words, indeed.

Heh.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home